TA'RUF


No. Pendaftaran: JHEAT.02-016/1/411(2)

Surau Wan Taib dibina pada tahun 1973. Pada awalnya, selepas kembali dari pengajian agama di Pasir Mas, Kelantan, Haji Wan Taib mula mengajar di rumahnya di Kampung Banggol Tok Esah, Manir, Kuala Terengganu. Antara subjek yang diajar ialah fiqah dan aqidah.

Memandangkan jumlah penuntut yang semakin bertambah, maka penduduk kampung telah mengambil inisiatif untuk membina sebuah surau sebagai tempat menyampaikan kuliah. Maka, Surau Wan Taib telah didirikan di hadapan rumah Haji Wan Taib di atas satu tanah persendirian milik keluarganya. Binaan asal surau sebenarnya telah diambil daripada Surau Kampung Belara yang dipindahkan ke Kampung Banggol Tok Esah. Keluasan surau ketika itu ialah kira-kira 30 x 40 kaki dan boleh memuatkan lebih kurang 60 orang jemaah pada satu-satu masa.

Semenjak dibina, Surau Wan Taib telah dibaik pulih beberapa kali antaranya menukar atap surau daripada jenis atap bata kepada atap zink. Siling bahagian dalam juga kemudiannya telah dibuat. Surau ini seterusnya dicat baru sebanyak dua kali iaitu kali terakhir pada tahun 2000. 

Projek renovasi keseluruhan surau dibahagikan kepada 3 fasa. Fasa pertama melibatkan bangunan utama surau untuk menggantikan struktur binaan kayu yang asal kepada binaan batu. Ianya telah dimulakan pada 28 Januari 2015 dan telah siap. Fasa kedua pula melibatkan bangunan tambahan surau yang merangkumi tandas dan tempat wudhu’, bilik serbaguna dan stor. Seterusnya, fasa ketiga diperuntukkan untuk infrastruktur halaman iaitu pentas terbuka bagi kegunaan aktiviti imarah luar, gelanggang badminton/takraw, taman permainan kanak-kanak dan ruangan parkir kenderaan.
 
 


 Google Maps Address: 5.32015,103.055742


Peta Lokasi Surau (klik peta untuk besarkan)


No comments:

Post a Comment